Haramkan hijau, RTM buat kerja bodoh!

 

 Apakah warna hijau benar-benar mengancam kedamaian dan keharmonian rakyat Malaysia lalu RTM merasakan warna itu perlu diharamkan daripada apa saja rancangan siarannya?

Atau adakah kerja-kerja membuat tapisan (censorship) di negara ini telah menjadi begitu kalut sehinggakan peraturan yang dikeluarkan tidak lagi masuk akal?

Baru-baru ini, seorang ahli komedi membuat rakaman bagi rancangan Cabaran Teh Tarik. Pada hari itu dia memakai seluar berwarna hijau kekelabu-kelabuan dan baju berwarna hijau yang kena dengan warna seluarnya itu. Tiba-tiba pengarah program itu mengarahkan dia supaya menukar baju sebelum dia dibenarkan meneruskan rakaman.

Selain warna hijau, warna biru tertentu juga kelihatannya turut disenaraihitamkan oleh RTM bersama ketayap dan jubah. Menurut kehendak RTM kini, watak-watak yang memakai ketayap atau jubah hendaklah diganti dengan memakai songkok atau baju Melayu, sama ada dalam drama ataupun program lain (biasanya program berunsur agama).

Nampak gayanya, selepas ini, kumpulan Raihan terpaksalah menukar imej mereka dan Ziana Zain pula tidak dapat lagi muncul dengan pakaian berwarna hijau yang menjadi kegemarannya.

Setelah disemak, dua buah syarikat produksi mengesahkan perkembangan terbaru ini. Kata mereka, walaupun mereka tidak mendapat arahan secara hitam putih mengenai perkara itu, tapi mereka telah dinasihatkan supaya tidak menggunakan warna “yang dilarang ini” jika mereka “ingin selamat”.

Kini semua orang tertanya-tanya, adakah arahan itu hanya melibatkan pakaian yang digunakan artis atau ia turut merangkumi peralatan yang digunakan semasa pengambaran juga. Jika ia melibatkan semua itu, maka adakah pokok-pokok atau alat-alat perhiasan yang berwarna hijau atau biru tertentu tidak boleh digunakan semasa pengambaran? Kemudian, bagaimanakah pula halnya dengan lokasi luar yang tentunya melibatkan pokok-pokok yang daunnya terdiri daripada pelbagai jenis hijau itu?

Soalan bodoh? Jika begitu, polisi melarang menggunakan “warna hijau dan biru” ini adalah bodoh juga!

Saya cuba mencari rasional di sebalik larangan ini. Sukar bagi saya untuk menemukan alasan yang munasabah mengapa RTM menganggap warna-warna universal itu (hijau adalah warna utama alam semulajadi sementara laut yang dan angkasa yang tidak bertepi itu biru warnanya) berbahaya. Apakah yang cuba “dilindungi” oleh RTM supaya tidak terkena pada penontonnya? Apakah selepas ini semakin banyak warna dan perkara lain juga akan diharamkan, seperti merah tertentu, serban dan juga tudung barangkali?

Bagaimanakah pula dengan program yang diimpot? Adakah pengharaman itu turut melibatkan program yang diimpot atau seperti biasa, akan berlaku double-standard dalam menangani hal-hal sebegini?

Nampaknya kita terlalu mudah ditakut-takutkan oleh sesuatu di sekeliling kita! Bukankah telah tiba masanya untuk kita merasa lebih yakin pada diri kita sendiri dan berhenti melihat apa jua yang ada di sekitar kita sebagai mengancam keselamatan kita?

----------

Sedutan tulisan Seri Bintang,  Seeing Red Over Colour Ruling (The Star, 6 April 2001)

 

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT ADIL DAN BERMORAL