SASTERA

Teori Islam hanya utopia ?

Oleh Razali Endun

 

 Pencarian  Teori Sastera Islam  dibicarakan semenjak tiga dekad  lalu. Cetusan ini disuarakan  Sasterawan Negara,  Shahnon Ahmad (Dewan Bahasa, Julai 1977) dengan konsep sastera Islamnya, “Sastera kerana Allah dan berhikmah untuk manusia.”

Topik ini juga pernah dibicarakan  ramai sasterawan yang lain. Malah Badarudin H.O. telahpun menyentuh konsep sastera Islam semenjak tahun 60-an lagi.

Walaupun unsur-unsur Islam pernah diterapkan melalui puisi semenjak tahun 1933 lagi, di mana Pungguk (Muhamad Yassin Ma’amor) dan penyajak-penyajak yang seangkatan dengannya, yang disiarkan dalam majalah Guru, (Kemala – Mengakrabi Simbolisme Dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-90, Menurut Teori Al-Nur Al-Ghazali dan Simbolisme Sufi Javad Burbakhsh), namun sehingga kini masih belum diketemui satu teori sastera Islam yang boleh digunapakai sebagai garis panduan bagi mentakrifkan sesebuah hasil sastera itu sebagai sastera Islam.

Justeru,  Dewan Bahasa dan Pustaka  melalui Bahagian Teori dan Kritikan Sastera,  menganjurkan satu seminar yang bertajuk, “Seminar Teori Sastera Islam: Kaedah dan Penerapannya,” pada 26-28 September 2000,  bagi mencari  pendekatan  positif  membina Teori Sastera Islam.

Sebanyak 25  kertas kerja  dibincangkan pada seminar tiga hari itu, antara lain oleh Dr  Vladimir Braginsky dari School of Oriental and African Studies, University of London, Ahmad Bassem Saeh, Pengarah di Oxford Academy for Advanced Studies,  Abdul Hadi Wiji Muthari dari Indonesia, Suratman Markasan dari Singapura, Dr Hasan Madman dari Thailand serta beberapa orang ahli akademik dan sasterawan tanahair,  Ustaz Muhamad Uthman El-Muhamadi, Mana Sikana, Kemala, Dr Shafie Abu Bakar, Lutfi Abas,  Dr Hashim Awang, S Othman Kelantan,  Abdullah Hussin dan lain-lain.

Nmun seminar tiga hari itu belum dapat menghasilkan titik pertemuan yang boleh dijadikan asas teori sastera Islam yang dicari-cari selama ini.

Dalam pembentangan kertas kerja, malah dalam sesi-sesi perbincangan, peserta dan  pembentang kertas kerja juga masih berbalah tentang konsep dan teori  sastera Islam sebenarnya. Masih ramai yang keliru tentang konsep atau teori sastera Islam.  Ada di antara pembentang kertas kerja mengemukakan teori masing-masing untuk dibincang serta diterimapakai untuk mewujudkan satu teori  sastera Islam.

Namun, ada pula di antara mereka yang menolak atau berpendapat setiap teori yang dikemukakan itu mestilah bersikap terbuka dan tidak bersifat jumud.

Dr Hashim Awang  berpendapat Teori Takmilah yang diperkenalkan  Dr Shafie Abu Bakar dan disokong muridnya Dr Samsina  Abd Rahman; tidak semestinya dibulldoze untuk diterimapakai sebagai teori sastera Islam. Menurutnya, masih banyak lagi teori-teori lain yang boleh diberi perhatian dan dibincangkan untuk dijadikan asas polemik dan kajian.

Beliau tidak mahu ada konsep, “hanya teori aku saja yang betul dan mesti diterimapakai.” Justeru,  beliau berpendapat bahawa Teori Takmilah mestilah bersikap terbuka dan masih boleh diterapkan dengan teori-teori lain yang relevan. Beliau berkata, teori Islam sebenarnya terbuka, mencakupi segala teori meskipun dari India, China atau negara-negara lain termasuk teori orang Melayu yang ada adab dan budaya Melayu yang bersesuaian dengan Islam.

Sementara itu keseragaman membentuk konsep sastera Islam itu sendiri masih  belum mendapat kata sepakat