BERITA SEMASA

Hasrat membersih SJKC Damansara dihalang

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 orang dengan penyapu serta alat pengaut sampah akhirnya mengambil keputusan membersihkan kiri dan kanan jalan setelah hasrat mereka untuk membersihkan kawasan SJK (C) Damansara yang kontoversi itu dihalang oleh anggota polis yang mengawal sekolah itu.

Pemimpin Persatuan Bekas Pelajar sekolah itu, Tommy Chin berkata, sekumpulan sukarelawan yang dipimpin oleh beliau sendiri berhasrat mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah itu pada 8 April lalu. Mereka telahpun mengemukakan permohonan untuk memasuki kawasan sekolah itu kepada pihak polis seminggu sebelumnya dan berharap permohonan itu diluluskan.

Walau bagaimanapun pada hari yang dijanjikan, mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah itu oleh anggota polis yang mengawal kawasan sekolah berkenaan.

Persekitaran sekolah itu tidak lagi dijaga setelah Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan supaya 1,400 orang pelajarnya dipindahkan ke SJK (C) Puay Chai II sementara sekolah baru di Tropicana siap dibina.

Perpindahan itu mendapat bantahan daripada lebih 60 buah keluarga. Mereka enggan memindahkan anak-anak mereka malah sebaliknya menghantar anak mereka belajar di kelas sementara yang didirikan di kawasan kuil berdekatan.

Menurut pengerusi jawatankuasa bertindak mempertahankan sekolah itu, Ronnie Liu,  tindakan mengadakan gotong royong itu antara lain bertujuan untuk menangkis tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan sekolah berkenaan tidak lagi sesuai dijadikan tempat untuk belajar memandangkan ianya kotor dan tidak dijaga.

 

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT ADIL DAN BERMORAL