Make your own free website on Tripod.com

MENGIMBAU KENANGAN

Dituduh Agen Kuasa Asing

Oleh Said Zahari

Pengalaman Said Zahari, pejuang ulung kebebasan akhbar yang ditahan 16 tahun tanpa bicara. Sepanjang tempoh itu, beliau berpindah penjara tiga atau empat kali.

 Mula-mula di  Penjara Qutram yang terletak di Qutram Road. Setelah kira-kira satu minggu di Penjara Qutram, aku dipindahkan pula ke tempat tahanan di bangunan Central Police Station, di Upper Pickering Street. Bangunan ini ada beberapa tingkat dan tingkat paling atas sekali yang terkenal dengan jolokan TFC (top floor central), digunakan khusus untuk mengurung tahanan-tahanan politik secara bersendirian  selama menjalani soal siasat.

Waktu  di tempat kurungan bersendirian itulah baru aku tahu apa yang dimaksudkan oleh ASP Hashim dengan kata-kata: “Cuma nak tanya sikit.” Rupa-rupanya “nak tanya sikit” itu ialah proses soal siasat yang bersambung-sambung dari pagi sampai tengah hari, sampai petang, sampai petang, sampai malam, sambung besok pagi, sampai ke petang, sambung ke malam.  “Cuma nak tanya sikit saja,” telingaku macam terdengar lagi kata-kata ASP Hashim itu.

Keluar dari bilik kurungan bersendirian, masuk ke bilik soal siasat. Waktu makan pun aku disoal siasat juga. Pada hari pertama aku disoal siasat, ASP Hashim dan tiga orang lagi yang menyoal siasat aku. Di atas meja bilik soal siasat yang berhawa dingin, dibuka kuat-kuat itu, aku nampak tiga buku besar yang sedang dibelek-belek oleh salah seorang pegawai yang kemudian aku dapat tahu bersama Inspektor Rejab. Sebaik saja aku duduk berhadapan dengannya, Inspektor Rejab bersuara: “You tahu tak apa yang tertulis dalam buku-buku ini?”

“Mana mungkin saya tahu? Buku-buku itu bukan kepunyaan saya,” jawabku.

Inspektor Rejab yang berwajah garang sedikit itu lalu hendak tunjuk garangnya kepada aku, pada hari itu. “Kalau you mahu tahu, semua rahsia you ada tertulis dalam buku-buku ini. Jangan fikir kita tak tahu,” katanya dengan suara yang sengaja ditinggikan.

“Rahsia apa?” aku pula bertanya.

“Said, jangan hendak temberang dengan kita. Semua gerak geri you kita tahu, pukul berapa you keluar rumah, dengan siapa you makan tengah hari dan makan malam, di panggung mana you tengok wayang, di petrol station mana you beli minyak kereta, pukul berapa you pulang ke rumah, semuanya kita tahu,” ujar Inspektor Rejab lagi dengan nada bangga.

“Ohh … rahsia itu. Sudah tahu sudahlah. Saya tak kisah,” jawabku.

Baru aku teringat bahawa beberapa bulan sebelum tertangkap dulu, keretaku selalu diekori. Di beberapa tempat dan rumah yang sering aku kunjungi selalu kelihatan orang yang mencurigakan. Setiap kali aku memandu keretaku masuk ke kawasan kampus Universiti Malaya di Singapura, di jalan Bukit Timah untuk mengikuti kuliah kursus International Law and Relations yang aku ambil, aku selalu nampak sebuah kereta berhenti di tepi jalan. Dalam kereta itu, selalunya ada dua atau tiga orang yang gelagatnya juga mencurigakan.

Sesudah habis kuliah aku keluar dari kampus melalui pintu masuk Delvey Road pula. Di sana pun terdapat sebuah kereta lagi yang berhenti di tepi jalan. Tetapi aku memang tidak pernah ambil kisah dengan pengekoran mereka itu.

Inspektor Rejab tidak senang apabila aku kata aku tak kisah rahsia aku mereka tahu. “Jangan nak tunjuk berani, Said, nanti you menyesal,” katanya.

Belum sempat aku menjawabnya lagi, ASP Hashim menyampuk: “Said, maksud kita ialah, anda bolehlah berterus terang, antara kita sama kita, tentang aktiviti-aktiviti anda supaya mudah kita boleh selesaikan masalah anda.” Lepas itu, ASP Hashim tiba-tiba mengingatkan aku satu peristiwa dua belas tahun sebelum itu, ketika dia dan aku sama-sama menduduki peperiksaan Senior Cambridge sebagai calon swasta kerana kami masing-masing sudah bekerja, dia sebagai pegawai polis dan aku sebagai pemberita Utusan Melayu. Sejak itu, katanya, dia tidak pernah berjumpa aku. “Tak sangka, kita boleh bertemu di sini, ya Said?” kata Hashim. Aku mengiakan saja ceritanya itu.

Kemudian ASP Hashim cuba memancing: “Anda tahu Said, Lim Chin Siong sudah pun beritahu kita segala-galanya tentang aktiviti anda. Jadi tak payahlah anda hendak bersembunyi-sembunyi lagi.”

Aku macam hendak terbahak mendengar nama Lim Chin Siong disebut-sebut. Tetapi aku tahankan hati. Aku cuma katakan kepada ASP Hashim, kalau Lim Chin Siong memang betul sudah berbuat demikian, apalagi yang dia mahu daripada aku. “Percaya sajalah cakap Lim Chin Siong tu,” kataku.

“Kita mahu anda bekerjasama. Kita mahu anda menjawab semua soalan kita mengenai aktiviti anda,” dia bertegas.

Aku ulangi lagi:  “Percaya  sajalah cakap Lim Chin Siong. Kenapa saya mesti bekerjasama dengan orang yang menangkap saya?”

ASP Hashim tidak berkata apa-apa lagi. Dia mengelak bersoal jawab dengan aku tentang ‘kerjasama’ yang dimintanya daripada aku itu.  Soal siasat pagi itu tamat hampir-hampir waktu makan tengah hari. Aku dihantar balik ke bilik untuk makan nasi yang bercampur pasir, kari ikan gelama yang cair, tak tentu rasa dan air teh susu yang macam air lumpur sungai baru kehujanan.

Tapi aku perlu tenaga, aku mesti makan, bisik hatiku. Lalu aku baca bismillah, biji-biji pasir pada nasi aku kutip dan aku ketepikan. Nasinya aku makan. Sudah habis pula, aku baca alhamdulillah. Air teh itu pun aku minum juga, buat-buat rasa enak. Baru sahaja aku meletakkan kepalaku di atas pangkin batu keranjangku untuk berehat, pintu bilik dibuka oleh polis Ghurkha dan aku diajak ke bilik soal siasat sesi petang.

ASP Hashim tidak datang. Hanya Inspektor Rejab yang menyoal siasat aku pada petang itu. Dia ditemani seorang pegawai polis berpangkat sarjan. Aku fikir dia akan menggunakan nama Lim Chin Siong lagi untuk mendapatkan kerjasama daripada aku. Rupanya tidak. Temberangnya tentang Lim Chin Siong sudah terdedah.

Inspektor Rejab tanyakan tentang hubungan aku dengan Kedutaan Indonesia di Singapura dan di Kuala Lumpur sebelum aku dilarang masuk ke Malaya pada tahun 1961. Dia tanya apa aku buat di Indonesia sewaktu aku melawat republik itu pada tahun 1958 dan kenapa aku terlalu ‘pro-Sukarno’. Katanya dia ada gambar yang menunjukkan aku bersama beberapa orang wartawan termasuk seorang wartawan komunis PKI (Parti Komunis Indonesia), dan macam-macam lagi.

Aku senang sekali menjawab soalannya itu. Sebagai pengarang Utusan Melayu, aku dengan rela hati telah meneruskan tradisi suratkhabar Utusan Melayu yang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Indonesia. Pada masa itu, Indonesia sedang bertungkus-lumus mengisi kemerdekaannya. Rakyat Indonesia sedang membersihkan saki-baki penjajahan Belanda di Irian Barat. Pada masa yang sama Sukarno, Pandit Nehru, Gamal Abdul Nasir, Prince Sihanouk dan Chou En Lai sama-sama giat mempelopori kebangkitan bangsa-bangsa Asia dan Afrika, berikutan persidangan Bandung tahun 1955, untuk melepaskan diri daripada belenggu kolonialis dan imperialis.

Dalam masa perayaan kemerdekaan Malaya hujung tahun 1957,kerajaan Persekutuan Tanah Melayu  mengundang beberapa orang wartawan dari Indonesia. Sebagai Presiden Persatuan Wartawan Melayu Malaya, aku  mengadakan jamuan makan malam di sebuah restoran di Kuala Lumpur untuk meraikan wartawan-wartawan dari Indonesia itu. Antara mereka itu termasuklah Adam Malik, Mokhtar Lubis, Rosihan Anwar, Naibaho dan Hasjim Rahman. Semuanya ketua-ketua pengarang daripada surat-surat khabar Indonesia yang utama seperti Suluh Indonesia, Indonesia Raya, Merdeka, Harian Rakyat dan Bintang Timur dan juga pejabat berita Antara yang diketuai oleh Adam Malik pada masa itu. Adam Malik kemudian menjadi Menteri Luar Indonesia dan Presiden PBB.

Gambar yang disebut oleh Inspektor Rejab itu ialah gambar yang diambil oleh salah seorang wartawan Indonesia yang menunjukkan aku bersama Adam Malik, Naibaho, ketua pengarang Harian Rakyat, suara rasmi PKI, Hasjim Rahman, ketua pengarang Bintang Timur, Melan Abdullah dan satu dua orang lagi.

“Saya kenal beberapa orang pegawai di kedutaan itu,”