BERITA SEMASA

Pelaburan pasaran saham,KWSP mesti telus

Oleh Wartawan Kami

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mesti bertanggungjawab kepada 9.7 juta orang pencarumnya dengan mengamalkan polisi baru yang lebih terbuka, terutama dalam hal berkaitan pelaburannya dalam pasaran saham, kata pemimpin DAP Lim Kit Siang.

“Peringkat permulaan KWSP boleh mengesahkan sama ada benar atau tidak badan itu telah membeli 3.4 juta saham Maybank bernilai kira-kira RM43 juta dalam masa 12 hari antara 9 dan 12 Mac yang mengakibatkan kerugian lebih RM7 juta,” kata Lim dalam kenyataan medianya.

Dalam pelaburan yang lain KWSP kerugian RM110 juta apabila saham Time dotCom jatuh menjunam sebaik sahaja disenaraikan, katanya.

“Pencarum KWSP berhak mengetahui dengan detail jumlah saham yang dibeli atau dijual menggunakan dana KWSP supaya mereka dapat menilai dan menentukan sama ada pelaburan itu menguntungkan atau sebaliknya,” ujar Lim.

Menurut Lim, polisi yang ada sekarang, iaitu menyebarkan maklumat mengenai persembahan pelaburan KWSP melalui laporan tahunan dan laporan suku tahun, adalah tidak memadai.

Lim juga mempersoalkan adakah KWSP mempunyai peranan menyediakan dana membeli saham untuk menyokong pasaran saham, walaupun pelaburan itu boleh mengakibatkan kerugian yang teruk.

Beliau juga meminta KWSP menjelaskan sama ada badan itu terlibat dalam “manipulasi saat akhir pasaran saham BSKL” dengan membeli saham Telekom Malaysia Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam masa tiga bulan lepas.

Terdahulu dari itu, pemimpin DAP itu mendakwa terdapat kemungkinan berlakunya manipulasi pasaran saat akhir dengan tujuan untuk melonjakkan indeks yang jatuh begitu ketara.

 

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT ADIL DAN BERMORAL