POLITIK

MUslihat Mahathir Ke Gua Musang

Oleh ROZAID RAHMAN

Tiada siapa dapat menafikan, permainan politik  Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja penuh dengan elemen-elemen mengejutkan tetapi pada kebanyakan masa tidak boleh dibaca oleh lawannya atau pun para pemerhati politik tanah air.

Pada era kegemilangan Anwar Ibrahim sebagai seorang ikon kepada generasi muda, Dr Mahathir berjaya melakukan satu coup d’etat dengan mencurinya dari tangan PAS dan membawanya ke dalam Umno. Walaupun para pengkritik melihat langkah itu kemudiannya satu malapetaka buat Umno (lihat apa yang terpaksa dilalui oleh parti itu ekoran krisis pemecatan Anwar) tetapi satu pandangan lagi berpendapat, sama ada ia merupakan langkah yang salah atau benar, Anwar akhirnya dapat dijinakkan oleh Dr Mahathir dan kemudian memusnahkannya sama sekali.

Sepanjang proses tersebut, Anwar kelihatan seperti akan menjadi penganti mutlak kepada Dr Mahathir. Namun begitu, Dr Mahathir sebagai seorang ahli  politik yang pintar bermain teka-teki sentiasa mengelak daripada menjawab secara tepat apakah Anwar akan mengantikannya. Cuma beberapa tahun kemudian iaitu sebelum Anwar dipecat, barulah beliau menyatakan pendiriannya dalam soal tersebut. Namun begitu barang diingat bahawa sepanjang pendakian Anwar ke mercu kejayaan “sementara” politik negara, Dr Mahathir tidak pernah meminggirkan nemesis Anwar, iaitu  Abdullah Ahmad Badawi. Beliau seolah-olah memberi peringatan kepada Anwar, bahawa sebarang kesilapan langkah hanya akan membuka laluan kepada Pak Lah. Atau dengan lebih tepat, jika Anwar menunjukkan tanda-tanda akan melawan tauke, beliau sentiasa ada Pak Lah sebagai pengantinya. Jelas sungguh, selepas ketiadaan Anwar, Pak Lah menjadi pilihan Dr Mahathir sebagai timbalannya.

Sekali lagi Dr Mahathir bermain dengan teka teki apabila beliau “menolak” calon yang lebih kanan (dari sudut undi dan hirarki) iaitu  Najib Tun Razak ketika mengumumkan penganti Anwar.

Ramai yang tertanya-tanya kenapakah Najib yang menduduki kerusi naib presiden paling kanan tidak menjadi pilihan sedangkan Abdullah yang menduduki kerusi nombor dua  dalam ranking naib presiden menjadi pilihannya.

Sebenarnya Dr Mahathir sentiasa bermain modus operandi yang hampir serupa apabila mencorakkan barisan kabinetnya dan juga mencaturkan langkah politik seterusnya.

Masih ingat lagikah ketika Tengku Razaleigh Hamzah pertama kali tewas di tangan Musa Hitam pada pemilihan jawatan timbalan presiden Umno selepas Dr Mahathir mengambil alih teraju negara dari tangan Tun Hussein Onn?

Selepas kekalahan Ku Li, Dr Mahathir tidak menyingkirkan bekas menteri kewangan itu dari persada politik tanah air. Sebaliknya, walaubagaimana sekali pun sokongan yang ditunjukkannya kepada Musa, Dr Mahathir tetap “menyimpan” Ku  Li di dalam barisan kabinetnya. Malah Ku Li masih diberi jawatan bendahari agung Umno dan menteri pusat.

Ini kerana beliau sentiasa hendak Musa sedar bahawa sekiranya dia menjadi ancaman kepada kedudukannya sebagai perdana menteri, pada bila-bila masa sahaja Ku Li boleh diambil sebagai rakan sekutu yang baru.

Ada satu lagi teori yang mengatakan bahawa Dr Mahathir tidak pernah bimbang akan percaturan politik Ku Li ataupun Pak Lah. Mereka pada pandangan Dr Mahathir adalah ahli politik yang “lurus” dan tidak banyak akal sepertimana Musa dan  Anwar. Tetapi dari segi pengalaman dan personaliti, Ku Li hampir-hampir sama dengan Musa.

Kedua-dua Musa dan Anwar mahu dilihat sebagai seorang negarawan. Kedua-duanya juga adalah pemimpin semulajadi – tergolong dalam kategori dilahirkan untuk menjadi pemimpin sama seperti Dr Mahathir. Malah karisma dan aura kepimpinan  kedua-duanya melampaui batasan kenegaraan. Mereka telah mencapai status antarabangsa.  Sepertimana Musa, Anwar dilihat di Indonesia sebagai pemimpin ASEAN, bukan pemimpin Malaysia semata-mata, misalnya.

Musa pula dikenali dan dihormati di Eropah dan dunia barat kerana karismanya dan juga pemikirannya. Baru-baru ini, satu forum yang dihadiri oleh Musa di Eropah  telah mendapat sambutan yang agak luar biasa bagi seorang yang bertaraf  bekas timbalan perdana menteri Malaysia. Anwar pula ketika masih menyandang jawatan timbalan perdana menteri, sentiasa mendapat perhatian dunia dan juga ASEAN lebih-lebih lagi apabila beliau muncul dengan konsep masyarakat madaninya.

Hubungan Anwar dengan dunia dan generasi muda Malaysia yang nampaknya masih belum padam walaupun sudah ham