Tuduh tidak peka isu kebebasan akhbar, Zam hina wartawan Melayu

 

KUALA LUMPUR: Kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Zainuddin Maidin (Zam) berhubung tindakan 581 orang wartawan tempatan menghantar memorandum pada 1999, kepada Kementerian Dalam Negeri meminta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dihapuskan adalah tidak tepat.

Jurucakap kumpulan wartawan itu Shaila Kosyi menurut laporan The Sun berkata, dakwaan Zam yang mengatakan tidak ada wartawan Melayu terlibat menandatangani memorandum itu dan ia dibuat atas inisiatif serta hasutan pihak asing adalah tidak benar.

“Kenyataan itu tidak betul kerana ramai wartawan kanan Melayu menandatangani memorandum itu,” katanya.

Selain Shaila yang bertugas di The Star, kumpulan itu turut dianggotai Zainon Ahmad (New Straits Times), K Parkaran, Jacqueline Ann Surin (kedua-duanya The Star), Joceline Tan (waktu itu NST) dan Khaidir Abd Majid.

Jumlah wartawan yang menentang akta berkenaan meningkat kepada hampir 1,000 orang pada tahun lalu.

Dalam majlis pelancaran buku Meniti Lautan Gelora – Sebuah Memoir Politik, tulisan Said Zahari, 3 Mac lalu, Zam berkata beliau meragui kewibawaan kumpulan wartawan tersebut.

Katanya, petisyen itu tidak disokong oleh wartawan Melayu atau organisasi rasmi seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Kelab Akbar Kebangsaan.

Zam, yang juga tidak bersetuju dengan pandangan Said Zahari yang menyifatkan wartawan-wartawan yang terlibat dengan petisyen itu sebagai pejuang kebebasan berkata, desakan ke arah kebebasan media itu dibuat atas hasutan pihak ketiga, mungkin oleh sebuah organisasi antarabangsa yang telah menggunakan ekpetriat negara miskin “sebagai tangan Barat yang tersembunyi.”

“Cuma satu perkara yang saya,” kata Zam, “agak kesalkan dalam buku ini tetapi ia mungkin di luar pencapaian maklumat Pak Said, iaitu tentang 581 wartawan yang menuntut pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 yang dianggap Pak Said sebagai pejuang untuk kebebasan akhbar.

“Jika mereka tidak didalangi sesiapa, saya berbangga. Tetapi harus diingatkan, tuntutan itu dibuat bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei 1999. Pada masa sama, sebuah organisasi antarabangsa di sini telah menganjurkan seminar dan menjemput wartawan dari Thailand untuk memberikan ceramah kebebasan akhbar dan setahun sebelumnya membawa seorang wartawan Indonesia yang juga membicarakan perkara yang sama.”

“Saya ingin bertanya,” tambah Zam, “Adakah layak bagi wartawan dari negara-negara yang perut rakyatnya belum bebas daripada kelaparan dan boleh diupah dengan sebungkus nasi untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk datang dan bercakap mengenai kebebasan persuratkhabaran di negara kita, untuk mengajar wartawan-wartawan Malaysia tentang hak dan kebebasan.”

Shaila berkata seruan ke arah kebebasan media  tidak dihasut oleh mana-mana pihak.

“Memorandum itu dirangka oleh kami sendiri dan tiada sesiapa pun menghasut kami. Siapa saja yang membaca memorandum itu dapat melihat dengan jelas alasan mengapa kami meminta akta itu dihapuskan.”

Memo itu membincangkan masalah kewibawaan arus perdana negara ini, khususnya selepas krisis politik ekoran pemecatan bekas TPM, Anwar Ibrahim. “Akhir-akhir ini, kewibawaan media dipersoalkan, bukan hanya di kalangan pembangkang dan pengkritik kerajaan, tetapi juga oleh orang ramai,” memo itu dipetik.

“Juga turut menimbulkan masalah ialah tuduhan bahawa wartawan tempatan hanyalah sebahagian rangkaian alat propaganda kerajaan dan bukannya golongan profesional yang menjalankan tugas sebaik mungkin,” tambah memo itu lagi.

Seorang wartawan kanan Melayu yang turut menandatangani memorandum itu berkata, Zam perlu meneliti dengan cermat memorandum itu untuk tahu berapa ramai sebenarnya wartawan Melayu yang terlibat.

Sementara itu Presiden NUJ Norila Mohd Daud mengesahkan bahawa kesatuan itu tidak terlibat dengan petisyen itu walaupun “ramai di antara ahlinya menandatanganinya.”

 

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT ADIL DAN BERMORAL