FOKUS

Sedia untuk terus ditahan, dipenjarakan

Bicara terbuka Ezam Mohd Noor tentang komitmennya menentang rasuah dan penyalahgunaana kuasa

Oleh ZAKIAH KOYA

 

Anak didik Anwar Ibrahim, Ketua Pemuda keADILan, Mohamad Ezam Mohd Noor nampaknya telah semakin dewasa – dalam politik tentunya. Dan menurut Ezam, penahanan selama lapan hari dalam lokap polis baru lalu dan 14 tuduhan kini sedang menunggunya di mahkamah, adalah antara pengalaman yang telah mematangkannya.

Walau bagaimanapun, pencapaiannya masih jauh jika dibandingkan dengan apa yang pernah dicapai oleh mentornya Anwar Ibrahim, yang  kini menjadi simbol ketidakadilan setelah beliau dipukul sewaktu berada dalam tahanan polis hingga menyebabkan beberapa kecederaan, antaranya lebam mata yang terkenal itu.

Kata Ezam, sewaktu ditemubual di pejabatnya di Institut Kajian Dasar, di Bangsar, Kuala Lumpur yang padat dengan buku itu, dia mula menyertai Umno kerana terpengaruh dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang kini dipenjarakan, bahawa terdapat banyak ruang dalam Umno yang boleh diperbaiki.

Dalam 1998, berlaku krisis dalam badan kehakiman apabila bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat. Ekoran peristiwa itu, Ezam yang pada waktu itu masih menuntut dalam jurusan ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), mengambil keputusan untuk aktif dalam politik.

“Sewaktu masih menuntut, saya cukup kuat mengkritik Umno. Ini kerana kedua-dua ibu dan bapa saya adalah orang Umno dan saya dapat lihat bagaimana ahli Umno peringkat bawahan dimanipulasi oleh pemimpin atasan mereka untuk kepentingan diri,” kata anak seorang pelombong itu.

Menurut Ezam, dia menjadi lebih kuat mengkritik Umno selepas Tun Salleh Abas disingkirkan dari jawatannya.

“Pada waktu itu Tun Salleh Abas merupakan pelajar bahasa Arab di UIA. Dia merupakan seorang yang cukup merendah diri dan sangat dihormati oleh pelajar. Kami semua sangat marah apabila dia disingkirkan dan melalui orang tertentu saya berjaya bertemu Anwar.

“Saya masih ingat, pada waktu itu Anwar berkata bahawa masanya masih belum sesuai untuk melaksanakan apa yang difikirkannya kerana dia sedang membina kekuatan dalam parti itu.

“Kemudian dia merayu kepada orang seperti saya supaya membantunya memperbaiki parti itu. Saya menyahut cabaran itu dan segera menyertai Umno. Saya mendaki dari satu tangga ke satu tangga – mulanya sebagai ketua pemuda dan kemudian menjadi orang nombor dua di peringkat bahagian. Saya menjalin hubungan yang rapat dengan Anwar.

“Saya akui, saya amat terpengaruh dengan komitmen, tulisan dan polisi Anwar mengenai pembaharuan.”

Walaupun dia tahu bahawa Umno cukup feudalistik sifatnya, namun Ezam yakin bahawa terdapat ramai orang yang ikhlas di dalamnya. “Malah sekarang pun, dalam Umno masih terdapat ramai ahli yang ikhlas di peringkat akar umbi tapi mereka ini telah dipermainkan dan dimanipulasi oleh pemimpin atasan.” 

Tiada ruang untuk perubahan

Ezam, yang menyertai IKD sebagai fellow atas cadangan Anwar sebaik sahaja tamat belajar berkata, apabila dia menyertai institut itu, semakin banyak “kepincangan Umno” ditemuinya.

“Pada masa itu saya masih terlalu muda dan belum lantang bersuara. Tapi saya dapati Anwar agak terbuka ketika berhadapan dengan kritikan.”

Ezam banyak belajar dari Anwar. Anwar yang memang diketahui cukup berminat pada perbincangan, forum dan dialog antara peradaban itu telah merangsang inteleknya.

Ezam masih ingat bagaimana Anwar pernah secara terbuka menyatakan rasa tidak setujunya terhadap hukuman penjara yang dikenakan ke atas anggota DAP, Lim Guan Eng, yang cuba menolong seorang gadis Melayu daripada dianiayai, di London.

Kata Ezam, “Mahathir telah menelefon Anwar dan memberitahunya bahawa Ketua Hakim Negara (Eusoff Chin) tidak senang hati dengan kenyataannya di London itu.”

Meskipun begitu, Ezam dan beberapa orang yang lain masih terus bertahan, menunggu waktu yang sesuai untuk Anwar naik menjadi orang nombor satu dalam parti, di mana barulah agenda perubahan sepenuhnya boleh dilaksanakan.

“Asas utama saya menyertai Umno ialah perubahan dan saya keluar Umno juga adalah atas asas perubahan. Apabila saya sedar bahawa dalam Umno sebenarnya tiada ruang untuk perubahan, saya meninggalkan Umno dan mengikut Anwar – bukan kerana hubungan peribadi saya dengan dia – tapi disebabkan kami berkongsi wawasan yang sama. Apa yang berlaku pada Anwar jelas menunjukkan bahawa tiada lagi ruang untuk perubahan.

“Kami tidak pasti bagaimanakah reaksi orang ramai jika kami keluar semata-mata kerana perubahan. Malah Anwar sendiri, apabila dia disingkirkan, dan pada kali pertama dia berdepan dengan rakyat, dia tidak pasti apakah reaksi rakyat terhadapnya.”

Ezam menegaskan bahawa dia tidak menyesal kehilangan sumber kewangan akibat tindakannya itu. Katanya, kalau dia masih kekal dalam Umno, dia akan menerima pencen setiausaha politik kepada Anwar, keistimewaan untuk membeli sekeping tanah di bawah kerajaan negeri, tender dan banyak lagi.

Menurut Ezam, penyingkiran Anwar telah mencetuskan “revolusi” dalam minda kebanyakan rakyat Malaysia. Pandangan mereka terhadap politik dan ahli politik kini telah berubah dari politik personaliti kepada politik isu.

Katanya, dia percaya kepercayaan yang mengatakan kerajaan itu kebal sekarang telah hilang.

“Kini, rakyat telah berani bercakap mengenai kerajaan alternatif dan dapat menerima idea mengubah kerajaan. Malah pemikiran rakyat mengenai isu-isu perkauman juga turut berubah. Disebabkan ini, maka kerajaan berhempas pulas memainkan semula isu-isu perkauman.”

Ezam, yang kini mula mendapat tempat utama dalam ceramah-ceramah yang diadakan,  berkata, rakyatlah yang telah mendesaknya untuk tampil ke depan dan sebagainya dia akan terus mendedahkan kepincangan yang dilakukan kerajaan seperti penyelewengan dana awam dan sebagainya.

“Rakyat nampaknya tidak berganjak dengan agenda perubahan, walaupun pilihan raya umum baru setahun berlalu. Mereka datang beribu-ribu untuk mendengar ceramah, tidak mengira sama ada hujan atau panas – dan walaupun diganggu oleh FRU dan sekatan jalan raya. 

Rasuah dan penyalahgunaan kuasa 

“Perjuangan kita sekarang lebih ditumpukan kepada menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata Ezam yang telahpun menyenaraikan topik-topik yang akan diperkatakannya dalam ceramah yang akan diadakan sepanjang bulan depan.

“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah digunakan untuk menampung saham di Bursa Saham Kuala Lumpur; Tabung Haji telah digunakan untuk membeli aset dan syarikat yang jelas tidak ekonomikal; Permodalan Nasional Berhad digunakan untuk menyelamatkan individu tertentu, kroni tertentu, seperti dalam kes menyelamatkan MAS – ini semua adalah contoh penyalahgunaan dana awam.”

Ezam menekankan bahawa mentornya sendiri pernah menonjolkan isu penyalahgunaan dana awam ini sewaktu dia masih dalam kabinet.

“Saya mempunyai banyak sumber yang akan memberitahu kepada saya mengenai penyalahgunaan dana awam dan juga kuasa. Saya ada bukti dan saya harap mereka akan dakwa saya di mahkamah supaya dengan itu saya boleh tunjukkan bukti itu dan ulang apa yang saya telah katakan. Tapi sehingga kini, tidak satu pun di antara tuduhan yang saya hadapi itu berkaitan isu ini,” katanya.

Ezam, yang menghadapi 14 tuduhan melanggar bermacam undang-undang, seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Polis dan baru-baru ini Akta Fitnah berkata, tuduhan yang sebegitu banyak mencerminkan kerajaan semakin tidak berupaya untuk menangani rakyat yang semakin sedar akan hak mereka.

“Serangan yang dilakukan ke atas saya pada asasnya merupakan langkah keselamatan awal,” katanya. Tambahnya lagi, hal ini adalah normal kerana apabila seseorang itu terlalu lantang bersuara, namanya tentu berada di atas dalam senarai orang yang perlu didiamkan.

Ezam memberi amaran kepada kerajaan bahawa lebih banyak protes dan bantahan umum akan berlaku terutama setelah beberapa barangan komoditi seperti getah, kelapa sawit dan kelapa jatuh begitu rendah.

“Apabila kehidupan rakyat terjejas dan terancam, dan apabila mereka tidak mampu lagi untuk memberi makan anak-anak, mereka akan bangun memprotes. Kerajaan selama ini cuba menolak dan menafikan perhimpunan awam media telah digunakan untuk memesongkan pandangan rakyat terhadap perhimpunan-perhimpunan ini.”

“Parti pemerintah cukup takut pada Kuasa Rakyat. Disebabkan itu mereka menahan saya selama lapan hari dan menempatkan saya bersama-sama penagih dadah dalam satu lokap yang begitu teruk keadaannya,” katanya. Menurut Ezam, lokap itu tidak mempunyai tandas yang sempurna dan tiada bekalan air walaupun untuk kegunaan membuang air besar atau kecil.

“Saya pernah berada dalam lokap sebelum ini, tapi kali ini paling teruk. Makanan yang disediakan tidak sesuai langsung untuk dimakan oleh manusia.”

Pengalaman itu membuatkan Ezam semakin cekal untuk terus bersuara.

Mengenai tuduhan bahawa dia pernah memberitahu media yang dia akan menggunakan protes jalanan untuk “menggulingkan kerajaan”, Ezam menjelaskan bahawa dia tidak pernah menggunakan perkataan “menggulingkan” itu. Perkataan itu telah digunakan oleh Hishamuddin Hussein Onn (Ketua Pemuda Umno) ketika mengulas mengenai tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

“Hishamuddin harus ingat bahawa datuknya sendiri, Datuk Onn Jaafar, memakai cara protes. Saya cukup percaya bahawa adalah menjadi hak rakyat untuk memberi mandat kepada kerajaan, dan adalah hak rakyat juga untuk menarik balik mandat tersebut.”

Protes dalam bentuk lain

Menurut Ezam, kerajaan nampaknya masih belum sedar bahawa terdapat bermacam protes lain selain protes jalanan.

“Di bursa saham juga berlaku protes. IPO Time.com merupakan kes pertama saham yang ditawarkan pada orang ramai tidak dilanggan. Ini merupakan satu protes juga dan ia amat berkesan,” dakwa Ezam.

Kata Ezam, walaupun pembangkang telah memilih jalan yang betul, dan meskipun terdapat pelbagai halangan, namun masih banyak perkara perlu dilakukan.