Bantahan ISA tidak memadai!

Mahathir menduga reaksi rakyat sebelum menyerahkan senarai lebih panjang

Selepas penangkapan borong Anwar Ibrahim dan pejuang reformasi, pada September 1998, pemerintah nampak berhati-hati untuk menggunakan ISA. Tekanan dan bantahan rakyat memuncak ketika itu, yang mencetuskan Gerak dan kemudiannya Barisan Alternatif. Kefahaman tentang isu-isu hak asasi manusia yang selama ini tidak dipedulikan kian meningkat di kalangan masyarakat awam.

Selepas peristiwa mata lebam Anwar, tidak mudah lagi ISA dikenakan. Mahathir terpaksa menahan sabar. Aksi-aksi protes dan tuntutan supaya beliau meletakkan jawatan dilakukan secara terbuka. Perhatian dunia tertumpu ke Malaysia. Pancutan air gatal, tembakan gas pemedih mata, belantan dan penjara tidak dapat meredakan gelombang kebangkitan rakyat.

Ramai merasakan, Mahathir pasti tidak berani menggunakan ISA untuk menangkis kebangkitan ini. Lalu, Harakah dikurangkan penerbitannya. Permit ceramah semakin sukar diperolehi. Beberapa media alternatif diharamkan. Royalti minyak dibatalkan. Semuanya demi survival Umno. Namun rakyat terus mengasaknya. Penangkapan ke atas Ezam pada raya haji lalu menikam belakang.

Ya, siapa sangka perangkap ISA dilabuhkan semula? Mereka yang terbabit mungkin hanya berada pada barisan kedua atau ketiga tetapi sudah cukup buat Mahathir menduga apa reaksi rakyat. Benarkah rakyat akan bangun memberontak kalau pemimpin mereka dikurung ISA? Jika ulangtahun ke-40 ISA boleh dirayakan begitu hebat di depan pusat tahanan Kemunting, tentunya apabila penahanan di bawah ISA dilakukan, tentangannya jauh lebih besar dan dahsyat.

Benarkah begitu? Apakah cukup dengan 5,000 orang mengiringi Wan Azizah dan pimpinan BA menyerahkan memorendum rakyat ke Suhakam? Apakah memadai dengan satu dua majlis meraikan keluarga tahanan ISA?

Aktivis reformasi harus menyedari, Mahathir kini hanya mahu mempastikan  respons rakyat. Senarai panjang menunggu jika beliau yakin inilah jalan terbaik menyekat kemaraan rakyat menjelang 2004. Justeru, segenap potensi harus digembleng untuk melakukan protes besar-besaran atas tangkapan ISA yang terkutuk itu. Maaf, apa yang sudah dilakukan adalah terlalu kecil untuk berdada dengan kezaliman ISA.