Make your own free website on Tripod.com

 

     

Roh Detik Dan Wasilah Terus Menganggu

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN 

Selepas majalah pro-reformasi yang diterbitkan dua kali sebulan, Detik, diharamkan, semangat saya untuk terus berkarya tiba-tiba pudar. Dari segi ini, KDN berjaya mengendurkan iltizam saya terutama bila mengenangkan hutang ratusan ribu ringgit yang terpaksa ditanggung.

Tidak mudah menghadapi realiti majalah yang kita asuh, didik dan dirikan tiba-tiba mati begitu saja. Segala cita-cita, hasrat murni dan idealisme kudus terbelenggu. Apa lagi mengenangkan  karenah sesetengah pengedar yang begitu bijak mencuri peluang untuk meninggalkan beban hutang yang tidak terdaya  dipungut.

Serik? Patah hati? Saya bukan insan yang kebal dari sifat-sifat lemah dan dhaif. Jika tidak melibatkan risiko kewangan mungkin segala masalah yang timbul boleh diatasi dengan mudah. Tapi melihatkan ramai teman-teman yang terpaksa menganggur, terutama sekali pemilik permit, saya terpaksa mengaku kalah. Lama juga masa diperlukan untuk pulih sepenuhnya.

Lalu, apa pilihan yang saya ada? Mahu menerbitkan sendiri, memerlukan permit penerbitan baru, yang terpaksa dipohon ehsan KDN untuk meluluskannya. Kita perlu mengemis mencari simpati Menteri Dalam Negeri. Sedangkan saya mula memohon permit lebih 12 tahun lalu.

Yang menariknya, kali pertama saya memohon lesen ialah seminggu sebelum saya ditahan borong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)! Saya tidak perlu menunggu masa lama untuk mengetahui jawapannya, malah saya langsung tidak ditemuduga oleh polis Cawangan Khas, seperti kelazimannya. Ini bermakna keputusannya sudah dijangka, berjaya atau ditolak mentah-mentah!

Justeru, bila saya menerbitkan majalah remaja, Al-Wasilah, juga seperti Detik, permitnya kepunyaan orang lain, saya cuba mengelak dari bertembung secara sengaja dengan KDN. Kepuasan berkarya saya korbankan ketika mengendalikan Wasilah hanya untuk memuaskan hati pegawai-pegawai KDN.

Memang pada awalnya semangat reformasi tercerna melalui Wasilah keluaran pertama, tetapi dikendurkan sedikit demi sedikit. Untuk mengelak campur tangan berlebihan, urusan editorial banyak saya serahkan kepada Muhammad Nor, penolong pengarang. Dan nampaknya beliau cepat serasi dengan tugas baru itu.

Namun dalam diam, difahamkan KDN sudah menyenarai-hitamkan saya. Memang benar, dalam beberapa isu menyentuh kebebasan media, suara saya agak lantang dan kritikan saya terhadap KDN dilihat keras menikam. Kalau pengamal media sepenuh masa seperti saya tidak menjerit dan meraung tentang tekanan dan penindasan yang dialami, siapa lagi boleh diharapkan untuk menyuarakannya?

Dan saya merasakan, tentunya pegawai-pegawai KDN amat memahami sebab musabab mengapa saya terpaksa bersuara. Adalah bodoh dan bahlul untuk saya, sebagai penerbit dan penulis yang ‘cari makan’ dengan ‘permit KDN’ tiba-tiba sengaja mendedahkan diri untuk dilanyak dan dibaham KDN.

Menatap wawancara eksklusif majalah Tamadun dengan Tengku Mahmood Tengku Ismail, Ketua Penolong Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan, KDN saya merasa lega. Apa tidaknya, beliau memberi jaminan KDN tidak pernah black-list mana-mana penerbit atau penulis. Berbicara khusus tentang Detik, beliau berkata: “Detik dibatalkan bukan kerana Ahmad Lutfi menjadi ketua pengarangnya, tetapi kerana ia melanggar syarat permit.”

“KDN tidak berlaku zalim kepada sesiapa. Malah kita amat bertimbang rasa kepada semua pihak. Kita tidak senarai-hitamkan mana-mana penerbit atau pengarang. Konsep ini tidak ada dalam kamus kita. Kita berdasarkan merit,” tegas Tengku Mahmood.

Dan kalaupun KDN tidak selesa dengan apa yang saya perjuangkan untuk membebaskan media, saya menjangkakan, takkan KDN sanggup bertindak zalim mematikan terus permit Al-Wasilah. Seperti yang saya jelaskan di awal tulisan ini,  pengharaman mendadak sesebuah majalah mengundang risiko cukup perit, khususnya dari segi kewangan. Satu usaha perniagaan Bumiputera kecil-kecilan, yang dibangunkan tanpa sesenpun wang dari mana-mana tabung kerajaan ataupun pihak bank, ditutup dengan begitu mudah sekali.

Walhal, jika dilihat liputan media menjelang mana-mana perhimpunan aman para reformis di Kuala Lumpur, antara isu yang sering ditimbulkan pemerintah untuk memberikan gambaran buruk kepada penyokong Anwar ialah sebarang tunjuk perasaan akan mengakibatkan pendapatan  peniaga kecil akan terjejas teruk. Lalu dicarilah seorang dua penjaja untuk dikutip pandangan mereka yang mengecam demonstrasi seumpama itu.

Soalnya, apakah dengan menutup dua majalah kami, yang mengakibatkan belasan orang menganggur, ia bukan satu tindakan tidak berperikemanusiaan pemerintah yang patut dikutuk dan dikeji? Tidak adakah jalan penyelesaian lebih baik, misalnya memaksa saya mengundur diri sebagai pengarang, tetapi permit tidak diusik?

Bukankah itu yang diamalkan kepada Utusan dan Berita Harian, bilamana pengarangnya yang tidak digemari Mahathir dipaksa berhenti untuk digantikan dengan pengarang lain sedangkan survival akhbar tidak terganggu?

Sesungguhnya amalan double-standard (sebenarnya ia bahasa yang sopan untuk menggantukan amalan rasuah dan korupsi) di Unit Kawalan Penerbitan KDN cukup meluas sekali. Kali tidak, masakan pemohon yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam dunia penerbitan diberikan berpuluh-puluh lesen, yang sebahagian besarnya tidak pernah muncul di pasaran. Sedangkan penerbit dan penulis yang hidup-mati berhempas-pulas dengan dunia kewartawanan, dipinggirkan begitu saja.

Ya, apa kriteria yang dipakai Dollah Badawi  untuk meluluskan permit penerbitan selain bersikap pengecut dan bacul dengan suara-suara yang tidak mampu untuk memuji pemerintah saban waktu?

Amalan double-standard ini makin menyerlah jika dirujuk percanggahan dengan syarat-syarat permit seperti yang didakwa KDN bahawa saya melakukannya. Wasilah pernah diberi amaran bertulis permitnya akan ditarik balik kerana dua kesalahan. Pertama, nama asal dalam permit ialah Al-Wasilah, tetapi pada keluaran sulung kami menggunakan nama Wasilah. Kedua, Penerbitan Pemuda dikatakan mengambil alih hak menerbit daripada syarikat asal, Meli Infomedia.

Kedua-dua kesalahan itu boleh membawa kepada hukuman mati mandatori, yakni permit penerbitan tidak akan disambung semula! Itulah juga yang berlaku kepada Detik. Seperti lazimnya, penjelasan kami seperti tidak dihiraukan. Ya, KDN sudah menetapkan hukuman sejak awal lagi, sejak Wasilah keluaran pertama diterbitkan!

Soalnya, bukan sedikit majalah yang diberikan kepada pihak lain tetapi kemudiannya diusahaniagakan oleh orang lain pula. Malah lebih teruk lagi, Umno Terengganu menukar nama sebuah tabloid yang dulunya dimiliki oleh seorang individu menjadi haknya pula. Kalau KDN mahukan nama-nama majalah yang melanggar syarat sama, mereka boleh mendapatkannya dengan mudah. Saya sendiri mempunyai senarai yang panjang nama-nama majalah berkenaan. Tapi oleh kerana majalah-majalah tersebut tidak banyak memberikan masalah kepada pemerintah, maka ia didiamkan sahaja.

Begitu juga dengan gambar-gambar lucah dan tiga suku bogel yang disiarkan secara berleluasa di dalam majalah-majalah hiburan. Semuanya menjadi kesalahan serius di bawah peraturan yang dikeluarkan KDN tapi tidak diambil hirau oleh penerbit tertentu. Pegawai-pegawai KDN pula menjadi buta berdepan realiti yang membusukkan itu.

Saya pernah menghubungi seorang pegawai KDN memaklumkan hal berkenaan. Beliau seolah-olah terkejut sambil mengaku tidak tahu menahu bahawa banyak majalah yang mempunyai permit sah menyiarkan gambar-gambar lucah tiga suku bogel.

Kesalahan yang sama -- yang boleh mengakibatkan permit digantung dan seterusnya diharamkan -- tetapi dilakukan oleh penerbit yang tidak mengganggu kepentingan pemerintah tidak dikira satu kesalahan. KDN boleh bertolak ansur dengan unsur-unsur menjolok mata itu tetapi segera bertindak jika makalah tertentu dilihat mengambil sikap berkonfrontasi dengan pemerintah, ataupun dengan KDN sendiri.

Detik sudah ditamatkan riwayatnya dengan cukup tragis sekali. Sesungguhnya peristiwa luka dan cukup pedih itu tidak mampu untuk saya lupakan. Detik adalah kekasih saya yang dibunuh Menteri Dalam Negeri tanpa sedikit pun rasa belas kasihan. Lukanya cukup dalam dan begitu memeritkan sekali untuk menanggungnya.

Wasilah yang tidak berdosa itu pun dikelar dan disembelih sehingga mati. Darahnya merembes di segala penjuru pejabat kami yang kelam dan suram itu. Tetapi seperti kata seorang teman, baunya tetap semerbak mewangi. Wasilah bagai gadis remaja yang putih bersih jiwanya tetapi dirogol bergilir-gilir seterusnya dibunuh dengan kejam sekali.

Soalnya, apakah saya akan diam membisu? Tentunya tidak. Saya akan terus menulis dan menerbit tetapi secara tidak menurut peraturan. Diharap KDN tidak menyalahkan saya selepas ini kerana setelah saya cuba menurut undang-undang, mereka tetap tidak memberi peluang, lalu lebih baik saya berkarya secara tidak menurut undang-undang pula!

Biarkan operasi rampasan yang mereka mahu lakukan. Heretlah ke mahkamah yang tidak pernah adil itu. Geledahlah pejabat dan rumah kediaman untuk mengendurkan semangat yang mulai kontang ini. Ya, KDN, lakukan apa yang anda mahukan lakukan.

Roh Detik dan Wasilah terus menghantui saya. Malam yang hening sentiasa dikejutkan dengan tragedi pembunuhan penuh berdarah ini. Benar sekali, umpama syuhada yang terkorban, ia sama sekali tidak mati, tetapi terus hidup dengan caranya sendiri.